Wednesday, 9 December 2015
Pergi
ke pasar bersama Kalsum,
Singgah
sebentar berjumpa pelawak,
Negeri
terbesar pelbagai kaum,
Bumi
kenyalang itulah Sarawak.
Malaysia sememangnya terkenal dengan
status negara berbilang kaum, atau dalam bahasa Inggeris multi-racial di
rantau Asia Tenggara ini. Seperti mana yang diketahui umum, majoriti kaum di
Malaysia adalah berbangsa Melayu, diikuti Cina dan India. Namun, lain pula
halnya di Sabah dan Sarawak. Misalnya Sarawak, negeri tersebut terkenal dengan
pelbagai kaum bumiputera, antaranya kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan sebagainya.
Kaum-kaum tersebut mewakili kawasan tertentu di serata negeri tersebut. Kaum
Iban terutamanya, merupakan kaum yang cukup dikenali di negeri Sarawak dan kaum
yang mempunyai populasi terbesar di negeri tersebut.
Gawai Dayak merupakan perayaan utama
bagi kaum Iban, Bidayuh, kaum Orang Ulu (Kayan, Kenyah) serta masyarakat Dayak.
Gawai bermaksud pesta. Perayaan ini diraikan setiap tahun. Menurut kepercayaan
mereka, Gawai Dayak bertujuan menzahirkan rasa syukur kepada sang Pencipta
kerana telah mengurniakan rezeki kepada mereka, seterusnya memohon supaya
rezeki dapat terus dilimpahkan kepada mereka pada masa akan datang. Sebagaimana
upacara-upacara rasmi yang lain, Gawai Dayak juga terdapat persediaan tertentu
yang perlu dilakukan menjelang perayaan tersebut.
Antara persediaan yang dilakukan ialah
penapaian "tuak", iaitu sejenis minuman tradisi masyarakat Dayak
untuk diminum kelak. Dari aspek simbolik, meminum
tuak melambangkan kekuatan tenaga dan keberanian hati tanpa berbelah-bahagi.
Selain itu, kaum wanita akan membuat kuih-muih tradisi orang Dayak yang akan
disimpan di dalam tempayan atau tin supaya tahan lama tanpa basi sementara
menunggu Hari Gawai. Acara pembersihan kubur turut diadakan untuk menghormati
orang-orang yang telah meninggal dunia, sama ada dalam kalangan datuk, nenek,
moyang ataupun sanak saudara.
Setelah berbagai
persediaan dibuat, maka tibalah hari Gawai Dayak yang dinantikan. Antara
upacara yang dijalankan ialah upacara sajian dan penyembahan, bertujuan sebagai
tanda kesyukuran untuk tahun yang telah berakhir dan memohon panjang umur,
kesihatan dan rezeki pada masa akan datang.
Dikatakan, terdapat sebab
mengapa komuniti Dayak akan membilang dari satu hingga tujuh bila memulakan
doa. Komuniti Dayak percaya pada seorang Bunsu Kree Petara dan ada tujuh orang
dewa-dewa utama iaitu: dewa kegagahan dan peperangan yang digelar Sengalang
Burong, dewa pertanian untuk hasil tuaian yang lumayan iaitu dipanggil
Sempulang Gana, dewa kesihatan dan panjang umur yang bernama Menjaya Manang,
dewa kekayaan dengan namanya Anda Mara, dewa pembuatan dan kesuburan yang
dipanggil Selampandai, dewa kepercayaan yang disebut Biku Bunsu Petara dan
akhir sekali Ini Inee/Andan sebagai seorang doktor semulajadi dan dewa
keadilan.
Setelah selesai segala kegiatan
pada hari pertama, yang antaranya ialah mendirikan pokok kehidupan atau pokok 'ranyai',
maka tibalah hari kedua perayaan Gawai Dayak.
Acara menyambut tetamu akan
diadakan oleh seluruh warga rumah panjang atau kampung. Selalunya, sebuah kuta
yang berupa sebatang buluh dan digantungkan sehelai kain tradisi akan
direntangkan pada jalan ke arah rumah panjang atau balai raya kampung. Selepas
melafazkan puisi kata-kata untuk membuka kuta, ketua tetamu akan diminta untuk
mencantas kuta tersebut dengan sebilah parang tajam. Acara simbolik ini
menandakan semua halangan atau rintangan yang ada telah pun diatasi supaya
rumah itu pun terbuka untuk tetamu. Sebelum naik ke rumah, ketua tetamu sekali
lagi diminta melembing seekor haiwan yang disediakan di kaki tangga rumah oleh
pihak tuan rumah. Acara ini secara simbolik menandakan persembahan kepada para
dewa and ampun-mengampuni antara pihak tuan rumah dan para tetamu dengan
mengalirnya darah haiwan itu ke tanah di kaki tangga. Haiwan itu akan
dibersihkan dan dimasak sebagai hidangan makanan untuk semua orang.
Kemudian, acara tradisi sabong
ayam jantan biasanya akan diadakan oleh kaum lelaki semasa gawai. Seorang ketua
sabong akan dilantik untuk menentukan kalah menang dan peraturan-peraturan
sabong. Sebenarnya, acara laga ayam ini adalah amalan kepercayaan tradisi dan
aktiviti masa lapang komuniti Dayak yang terkenal. Oleh itu, komuniti Dayak
mempunyai pengetahuan mengenali jenis-jenis bulu dan sisik kaki ayam jantan
yang menandakan nasib dan kemenangannya. Pada asalnya, acara sabong tradisi
hanyalah untuk tiga kali perlawanan saja di bahagian verandah (tanju) rumah
panjang dan selepas itu ia adalah acara bebas bagi yang berminat untuk
disambung di tanah lapang di luar rumah.
Setelah selesai semua acara dan
amalan tradisi untuk kedua-dua hari tersebut, maka tibalah majlis penutupan
Gawai Dayak. Ia diadakan dengan acara simbolik menggulung tikar yang dipanggil
"Ngiling bidai" oleh kaum Iban. Acara ini merupakan maljis kecil atau
sederhana di mana ada makan minum setakat yang masih ada, pokok ranyai yang
lebih kecil boleh didirikan, diikuti tarian ngajat sekurang-kurangnya dan tuak
peruk mungkin dihidangkan. Ruak peruk disediakan daripada hampas nasi pulut
yang tinggal dalam tempayan setelah air tuaknya hampir habis diminum. Jadi,
tuak peruk selalunya berwarna putih. Akhir sekali, sebuah tikar yang dipanggil
"bidai" akan digulung untuk menandakan tutupnya perayaan Gawai Dayak.
Sekian daripada saya, Habib
Hussein bin Mohd Fauzi.
Untuk mengetahui dengan lebih
lanjut tentang Gawai Dayak, sila rujuk:
https://ms.wikipedia.org/wiki/Gawai_Dayak
KENALI PENULIS-PENULIS
BLOG INI TELAH DI CORET OLEH PELAJAR-PELAJAR KOMUNIKASI MEDIA BARU UNIMAP SESI 2015/2016. ANTARA YANG MENJADI PENULIS ADALAH AMIN,AFIFAH,ANA,SYAFIKA, ZURA,FIT NISA, DAN HUSSIEN.
TENTANG BLOG
"BLOG KAMI MEMAPARKAN KECANTIKAN DAN KEINDAHAN PERAYAAN DI MALAYSIA YANG TERDIRI DARIPADA MASYARAKAT MAJMUK YANG BERBILANG KAUM DAN BANGSA"
CAPAIAN BLOG
Powered by Blogger.
MALAYSIAKU SEHATI SEJIWA
Copyright ©
SAMBUTAN PERAYAAN DI MALAYSIA | Powered by Blogger
Design by Flythemes | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com
Selamat sejahtera.sy mohon keizinan penulis blog ini utk mgunakan gambr kaum iban diatas utk tujuan penulisan buku teks
ReplyDeleteSbrg maklum balas tuan blh rujuk kpd sy melalui email hilmie7587@gmail.com atau azihani@dbp.gov.my.terima ksh ats kerjasama tuan
ReplyDelete